Tuesday, February 1, 2011

haiya!!

Apabila kita menyebut cameron highland, pasti terbayang kesejukan hingga ke tulang rusuk dan tergambar juga bunga-bunga yang mekar berwarna-warni penyeri taman dingin. Bangunan yang berkonsepkan "english style" pasti ingin dilihat untuk mengisi keinginan memuncak ke luar negara. Apakan daya, hajat belum tercapai, jadi cameron highland, destinasi terbaik untuk disinggah.
Memanjat kecuraman cerun ke cameron dari simpang pulai menjadi pilihan saya dan keluarga. Perjalanan dari sana dirasakan lebih selamat dan tidak terlalu merbahaya kepada pemandu baru seperti saya. Sepanjang perjalanan, sikap berjaga-jaga sentiasa ada memandangkan kes terbaru kemalangan melibatkan sebuah bas yang mengorbankan ramai pelancong asing berlaku di kawasan itu. Namun kesedaran sivik bagi pemandu lain masih kurang. Tidak menghiraukan keselamatan penumpang di dalam kenderaan, masih ada pemandu yang bersikap kurang peka terhadap jalan yang berbengkak bengkok. Kelajuan menjadi keutamaan dan kemungkinan lain ditolak bulat-bulat. Aku hanya mampu menggelengkan kepala tanda tidak setuju dan berdoa mereka akan selamat sampai.
Dalam hati, semakin seronok merasai titisan air halus tanda kabus makin tebal ketika ingin menuju ke tanah rata cameron. Udara luar dinikmati sambil pelbagai cerita dikongsi bersama. Namun, kegembiraan ini tidak bertahan lama. Kesal dan kecewa ditambah perasaan tidak puas hati. Cameron highland menjadi destinasi pelancongan Malaysia dicemari dengan longokan sampah yang teramat busuk sehingga tidak tertahan dek akal hanya disebelah jalan raya sebelum sampai ke tanah rata cameron. Oh, sungguh malu rasanya memikirkan pandangan pelancong asing terhadap kawasan itu. Apakah ini yang ingin dijadikan memori terindah pelancong asing? Perkara yang dianggap remeh oleh sesetengah pihak ini sebenarnya memberikan kesan yang lebih tragis untuk jangka masa yang lama..

Bilakah semua ini akan berakhir?Sedarlah wahai rakyat Malaysia.Kita cuba banggakan negara luar yang mempunyai nilai sivik yang tinggi tapi kenapa masih tidak setiap seorang daripada kita mengamalkannya supaya kelak anak bangsa kita bangga dengan nilai yang kita ada sendiri.

No comments:

Post a Comment